Saturday, October 29, 2016

8 Tips Penggunaan Internet Yang Selamat Untuk Kanak-kanak





Barangkali semua manusia normal akan berasa teruja dengan internet. Maklumat dan segala kemudahan berada di hujung jari. Jarak yang jauh terasa dekat menerusi media sosial. Jadi, siapa yang tidak sukakan internet?
Tidak terkecuali juga kanak-kanak. Permainan atas talian yang menarik, video kartun kegemaran di YouTube serta silibus di sekolah turut mengajarkan subjek internet. Internet memang menjadi sebahagian besar dunia masa depan mereka.

Sebagai ibu bapa, kita sedia maklum juga tentang elemen-elemen buruk yang dibawa oleh internet terhadap kanak-kanak. Sesetengah ibu bapa merasakan keadaan masih selamat, tidak merbahaya dan meletakkan 200% kepercayaan kepada anak.

Tetapi dengan lambakan berita yang kita baca setiap hari, adakah kita masih lagi mahu menutup mata dan menafikan kesan buruk dunia internet ini kepada anak-anak kita yang masih kecil?
Apakah langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengurangkan risiko serta memastikan anak-anak kecil kita dapat meneroka internet dengan selamat?

Jadi, ikuti tip-tip berikut untuk panduan keselamatan internet bagi kanak-kanak yang boleh kita terapkan bermula dari rumah kita sendiri.

1. Ketahui pergerakan mereka
Sama seperti kita mengetahui di mana anak kita berada pada setiap masa, begitu juga sewaktu mereka melayari internet. Jadi teman sewaktu mereka melayari internet serta kenalpasti siapa kenalan mereka di media sosial. Bukan untuk mengongkong, tetapi lebih baik berjaga-jaga sebelum semua sudah terlewat nanti.

2. Pilih lokasi selamat            
Ruang menonton keluarga atau laluan utama di rumah adalah paling sesuai kerana lokasi yang terbuka dan penggunaan internet dapat di kawal. Tetapkan juga bahawa mereka hanya boleh menggunakan gajet dengan capaian internet di sini sahaja dengan kehadiran orang dewasa.

3. Tetapkan peraturan
Sesuai dengan usia anak-anak, tetapkan jadual penggunaan internet di rumah. Sekiranya tugasan harian mereka telah disempurnakan jadikan penggunaan internet ini sebagai ganjaran. Perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu sebelum melayari internet dan tetapkan masa dan laman web yang boleh dilayari.

4. Mendidik tentang privasi
Meskipun mereka masih kecil, kita mesti sentiasa mengingatkan bahawa si dia:
       I.        Tidak dibenarkan memberi nama penuh, nombor telefon, alamat emel, alamat rumah, kata laluan internet, nama sekolah dan gambar kepada orang yang tidak dikenali;
      II.        Tidak membuka emel dari orang asing;
    III.        Tidak menjawab apa-apa mesej yang mengganggu ketenteraman;
    IV.        Tidak akan berjumpa dengan sesiapa sahaja yang dikenali atas talian;
     V.        Tidak memuat-turun gambar dan status yang tidak sesuai di media sosial;
    VI.        Tidak meninggalkan komen atau kata-kata yang membuatkan orang lain tidak selesa.
Adakalanya, cara kita menggunakan media sosial menjadi contoh terdekat untuk diikuti oleh anak-anak kita. Beri contoh yang baik sewaktu mengemaskini status, gambar serta meninggalkan komen di sana.

5. Memilih aktiviti di internet
Ketahui minat si kecil kita melalui laman web yang sering dilawatinya. Ada kanak-kanak yang gemarkan eksplorasi sains, projek kraf, memasak atau teknologi internet itu sendiri.
Senaraikan laman web khas berkaitan yang menarik untuk mereka terokai. Teruskan juga dengan aktiviti fizikal agar masa mereka sentiasa dipenuhi dengan perkara berfaedah. Tidak mustahil si kecil kita akan menjadi pakar dalam bidang yang disukai si dia satu hari nanti!

6. Berterus-terang tentang bahaya internet
Cerita dan tunjukkan keratan akhbar kepada si kecil tentang bahaya internet seperti pembuli siber, pornografi kanak-kanak, pedofilia, penculikan dan sebagainya. Kanak-kanak sangat gemar mencuba tanpa menyedari akibat sesuatu perkara.
Beritahu mereka sekiranya ada situasi yang membuat mereka tidak selesa di internet, mereka perlu memberitahu kita dengan serta-merta.

7. Lakukan sendiri
Kita boleh melakukan sendiri perkara berikut untuk keselamatan pengunaan internet di rumah:
      I.           Hentikan fungsi kamera web (webcam) dan kamera sedia ada (built in camera) dengan menukar tetapan pada komputer.
    II.            Di laman web popular seperti Google dan YouTube, tukar tetapan keselamatan (safety settings) untuk menapis paparan yang tidak sesuai.
 Terdapat banyak video panduan di Youtube yang boleh kita tonton untuk panduan  keselamatan internet kanak-kanak. Ambil tahu dan lakukan langkah pencegahan demi  anak-anak kita.

8. Menggunakan perisian keselamatan
Bagi ibu bapa dengan anak-anak yang sering menggunakan internet untuk pembelajaran dan juga santai, penggunaan perisian keselamatan berbayar untuk menapis kandungan internet adalah lebih baik.

Terdapat pelbagai variasi mengikut keperluan dan keutamaan setiap keluarga. Dapatkan khidmat nasihat dari yang pakar dengan berkunjung ke kedai perisian komputer berdekatan.
Internet akan menjadi selamat jika kita sebagai ibu bapa atau penjaga mencorakkan budaya penggunaan internet yang selamat sejak anak-anak masih kecil lagi.
Ajar anak kita untuk memberi respon ‘Tidak’ kepada perkara yang membuatkan si dia merasa ragu-ragu dan tidak selesa sewaktu melayari internet.

Jadi teman baik dan terokai dunia internet hari ini dengan duduk bersama-sama mereka beserta panduan, nasihat dan didikan yang berterusan.
Suatu hari nanti mereka akan melayari internet tanpa kita di sisi dan semoga mereka dapat membuat pilihan yang tepat.
Selamat berjuang memberikan dunia yang lebih baik untuk anak-anak kita!

No comments:

Post a Comment